Jumaat, 17 April 2020

7 PINTU - Ahmad Rusydi

"Kenapa tujuh pintu ayah? Pintu dia ada tujuh ke?", tanya anak hamba yang beusia tujuh tahun sambil tangannya mengarah pada sebuah novel yang baru hamba susun di atas rak. Ketika itu hamba masih sibuk menyusun buku-buku di rumah ke atas rak yang baru dibeli. Buku ini yang hamba tidak ingat bila dibeli, masih lagi belum dibaca.

"Entahlah ayah pun tak tahu...", jawab hamba berterus terang. Hamba lebih teruja melihat anak hamba yang dah boleh membaca itu. walaupun dah masuk darjah satu, dia masih belum dapat membaca dengan lancar. Tapi semenjak beberapa minggu sebelum itu dia sudah boleh membaca secara terus tanpa mengeja. Jadi setiap kali mendengar dia menyebut perkataan-perkataan dari buku yang dibacanya hamba akan menjadi teruja. Dan selalu hamba pesan kepadanya, kalau beliau dah pandai membaca nanti, seluruh koleksi buku yang hamba ada di rumah ini akan boleh beliau tatapi dan pelajari.

Kebetulan hamba telahpun selesai membaca Sang Purba, maka buku inipun hamba capai dan mula membacanya.

Wauuuu. Ini sahaja yang boleh hamba kata setelah selesai membaca keseluruhan novel ini. Ini antara buku terbaik yang pernah hamba baca dalam genre seram. Walaupun memperdagangkan tema seram, ia sebenarnya turut bercampur dengan thriller, penyiasatan dan psikologi. Ditulis dengan cukup baik, teratur, teliti - menjawab segala persoalan yang bermain di minda pembaca. Plotnya cukup cantik dengan suspen di mana-mana. Ia tidak terganggu walaupun banyak imbas kembali terutama melalui mimpi Faris tentang Argono. Klimaksnya mendebarkan serta tidak disangka-sangka.

Membaca permulaan novel ini mengenai kejadian yang berlaku di kampung Alor, kita tentunya akan menjangka bahawa perkembangan cerita nanti akan berdasarkan kisah Geoffrey yang mempunyai perjanjian untuk menyerahkan anaknya kepada Pawang Busu sebagai satu 'bayaran' atas khidmat beliau membuat minyak pengasih bagi memikat Zaitun, anak orang kaya Deraman. Namun semakin beranjak ke bab lain, bukan itu yang berlaku dan bukan itu yang pembaca sangka.

Bab berikutnya beralih ke zaman hari ini apabila berlakunya tragedi dalam keluarga Faris. Faris di dakwa membunuh anak-anaknya manakala isterinya membunuh diri di dalam mahkamah. Penyiasatan ke atas Faris di sebuah hospital akan membawa pembaca ke arah kebingungan lagi apabila timbul pula watak Zainuddin yang dilihat begitu misteri. Identiti Faris yang berubah menjadi Argono membuatkan pembaca semakin keliru dan semakin kuat berlakunya persoalan - siapa pula Argono ini? Bahkan seekor kucing yang diambil dari sebuah pusat adopsi turut menimbulkan tanda tanya - siapa pula Getih?

Persoalan tentang siapa Argono terjawab sedikit demi sedikit melalui mimpi yang dialami oleh Faris. Mimpi ini terlalu panjang dan memakan beberapa bab. Dalam mimpi ini juga Faris merasakan beliau adalah watak Argono tersebut. Tidak dinafikan pembaca akan merasa ragu kerana semasa Faris di dalam tahanan hospital, watak argono ini muncul dalam tubuhnya dengan berkelakuan seperti satu semangat yang jahat. Namun perjalanan kisah Argono memperlihatkan dia sebagai seorang baik, rajin dah mudah bergaul dengan orang kampung. Namun konflik mulai timbul sedikit demi sedikit bermula dengan beliau mengambil alih pekerjaan mengutip sewa yang sebelum ini dijalankan oleh Kadir sehinggalah beliau berjaya menikahi Kesuma yang digilai oleh Deli. Itupun hamba yakin pembaca mungkin memikirkan bahawa Argono nanti memusuhi keturunan Kadir, tetapi ternyata tidak.

Penulis ternyata cekap bermain dengan plot penceritaan. Kejutan berlaku di sana sini. Konflik ditulis denagn begitu baik menjadikan penceritaan 7 Pintu amat kuat. Cuma tajuk 7 pintu ini, kisah berkaitan 7 pintu ini bagi hamba sedikit sahaja. Pintu ketujuh memang suatu yang misteri tetapi ia bukanlah pokok penceritaan.

Perjalanan menuju klimaks juga masih disulami dengan adegan yang penuh mendebarkan serta persoalan-persoalan baru yang muncul. Bahkan selepas klimaks juga nampaknya penulis seolah tidak mahu segera menamatkan cerita apabila tiba-tiba pula Detektif Nizam membuat onar.

Kampung Alor yang bermisteri sejak dahulu, kekal dijadikan misteri oleh penulisnya. jauh dari masyarakat luar, tiada tercatat atau terlukis di dalam peta. Apa terjadi kepada Argono? Kenapa mayat beliau tidak dikebumikan. 

Adakah penulis mahu menyambung kisah ini? Silakan, hamba tidak sabar menunggunya!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...