Sabtu, 25 April 2020

MAT GONG - Malungun


Buku ini masih elok lagi berbalut dengan plastik sepertimana kelazimannya sebuah buku baru. Sewaktu mengoyakkannya hamba menyangkakannya merupakan cetakan yang paling akhir tetapi terkejut apabila mendapatinya adalah buku cetakan yang pertama pada tahun 1995. Buku tahun 1995, hanya pada tahun 2020 dibuka - sudah 25 tahun usianya, di usia anak muda yang telah dewasa dan mula menggatal hendak bernikah. Bau kertasnya masih segar seperti buku-buku baru. Tiada juga kesan kekuningan yang biasanya menempel pada buku yang telah berusia. Justeru, walaupun telah berusia, buku ini umpama baru sahaja keluar dari kilang.

Mat Gong asalnya adalah kisah yang disiarkan secara bersiri di dalam majalah Gila-Gila. Namun hamba ketika itu tidak begitu mengikuti kisahnya walaupun membaca majalah berkenaan pada setiap keluaran. Mengandungi 54 bab, ini bermakna ia telah bersiaran di dalam 54 keluaran Gila-Gila yang memakan masa siaran lebih kurang dua tahun dan tiga bulan (berdasarkan keluaran Gila-Gila sebanyak dua kali sebulan ketika itu). Walaupun ilustrasinya yang dibuat oleh Don seolah ia adalah sebuah kisah jenaka, tetapi ia tidak sebegitu. Ia bukanlah sebuah kisah lawak sama sekali.

Latar masa Mat Gong adalah sekitar pertengahan tahun 50an membawa ke zaman selepas merdeka. Ia adalah kisah masyarakat di sekitar Kampung Tepus, Kampung Gapis dan Pekan Tandang dengan tumpuan utamanya kepada watak Muhammad bin Abdullah ataupun Mat Gong. Soal kenapa beliau dipanggil Mat Gong haruslah anda membacanya sendiri.

Secara keseluruhan Mat Gong adalah satu sindiran epada cara hidup masyarakat yang mahu hidup senang tanpa perlu banyak berusaha walaupun peluang telah datang bergolek di hadapan mata. Ini dapat dilihat pada diri Mat Gong yang telah menjumpai sebuah kawasan paya yang mempunyai bijih timah. Namun beliau bukan jenis panjang akal. Sebaliknya perkara itu diberitahunya kepada Tauke Lee yang kemudiannya memanfaatkannya dengan melakukan perlombongan secara haram. Mat Gong hanya dihulurkannya sedikit saguhati (dibaca rasuah) untuk menutup mulut. Namun pada Mat Gong dia berasa bangga kerana membantu Tauke Lee yang dianggap sahabatnya untuk menjadi kaya. Dia lebih suka sekiranya orang ramai mengetahui bahawa dialah yang menjadikan Tauke Lee kaya.

Tauke Lee adalah seorang kapitalis yang menggunakan kekayaannya untuk membeli orang kampung. Dari orang biasa seperti Mat Gong hinggalah ke peringkat yang paling tinggi seperti Tok Penghulu dan tuan S.O. (Settlement Officer). Boleh dikatakan bahawa hampir semua sogokan dalam novel ini datangnya daripada wang Tauke Lee, termasuk juga Mr George, pengurus estet getah yang juga milik Tauke Lee. Begitu mudahnya sogokan berlaku tanpa ada yang berasa salah dan hanya menganggapnya satu perkara biasa. Kerana itu masyarakat yang digambarkan seolah-olah terlalu mudah dibeli. Ini dapat dilihat pada watak Sarip, Lebai Musa, Tamin dan pemuda-pemuda Tandang yang pada mulanya mahu membuat hal di majlis pengislaman Ah Chai, akhirnya menjadi penyeri majlis pula dengan membuat persembahan silat selepas dijanjikan jawatan di estet serta lombong Tauke Lee.

Penjawat awam juga digambarkan sebagai tidak cekap dan kaki rasuah. Ini dapat dilihat pada watak Tok Penghulu, tuan S.O. serta kerani dan peon di pejabat tanah. Kesemua mereka bergerak hanya disebabkan adanya wang pelincir. Walaupun sudah ada wang pelincir, kerja yang dijalankan masih juga lambat. Bahkan kerana wang juga, amanah kerja lansung tidak ditunaikan. Tuan S.O. yang sepatutnya membuat pemeriksaan ke atas kawasan paya yang dipohon oleh Tauke Lee untuk mendapatkan lesen TOL tidak jadi melakukannya setelah koceknya dimasukkan wang oleh Tauke Lee. Tauke Lee juga menipu bahawa paya berkenaan hendak dijadikan kolam ikan lampam padahal ia merupakan tempat beliau melombong secara haram. Tuan S.O. dan Tok Penghulu juga digambarkan membaca akhbar sewaktu pagi di pejabat dan terus membaca walaupun orang telah ramai menunggu untuk bertemu. Pertemuan dengan orang ramai hanya dilakukan setelah mereka selesai membaca akhbar! Bahkan penghulu juga hanya menandatangani surat-surat yang ada ddi dalam tray beliau selepas seminggu berada di situ! Bayangkan jikalau beginilah sigat penjawat awam pada hari ini sudah pasti negara akan musnah dan tiada pembangunan akan dapat dijalankan dengan pantas.

Walaupun mempunyai duit yang sedikit kadangkala ia digunakan untuk berhibur dan dihabiskan begitu sahaja. Berhibur di kelab malam sambil minum minuman keras serta melanggan perempuan, minum todi, belanja kawan-kawan hanya kerana mahu dilihat kaya serta sebagai balasan tertentu, seakan menggambarkan adanya masyarakat yang tidak cerdik. Kerana itu golongan seperti ini amat mudah sekali dibeli.

Juga digambarkan akan perbuatan maksiat boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira status kedudukan. Dalam novel ini watak Letchumi boleh hamba katakan sebagai perempuan murahan yang boleh sahaja jatuh kepada mana-mana lelaki yang berwang. Ini digambarkan oleh penulis bahawa sebelum beliau rapat dengan Mat Gong, Letchumi pernah sahaja mesra dengan Mat Saleh bekas pemilik estet, Mr George sang pengurus bahkan mandur estet juga tidak terlepas.

Namun yang paling menonjol sekali adalah sikap manusia yang suka mengambil kesempatan di atas kebodohan bangsa Melayu. Benar, bangsa Melayu ketika itu tidak ramai yang berpendidikan tinggi. Apa yang segelintir mereka fikirkan mungkin hanya tentang kelansungan hidup. Yang penting mereka mereka ada duit untuk makan, pakai dan menambah peralatan dalam rumah. Kerana kebodohan mereka mudah dibeli, mudah diperdaya untuk menjualkan tanah serta diulit rasa bahawa mereka bijak sedangkan mereka sebenarnya telah dibeli dan semestinya orang di belakang mereka itulah yang lebih berkuasa kerana mereka yang dapat menentukan kehendak mereka dipenuhi melalui /kuasa wang yang ada pada mereka.

Kisah Mat Gong sebenarnya masih berlaku hingga ke hari ini. Novel ini satiranya adalah untuk mengingatkan segelintir orang Melayu yang masih lagi belum cerdik dan mudah dibeli. Bacalah novel ini dan anda akan dapat melihat Mat Gong di sekeliling anda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...