Jumaat, 3 Januari 2020

69 KOMANDO



Siapa yang tidak kenal dengan 69 Komando, sebuah pasukan elit dalam polis Di-Raja Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1969. Penubuhannya ketika itu dirasakan amat perlu oleh kerajaan berikutan ancaman pengganas komunis. Perlu diingat bahawa biasanya komando ini dikaitkan dengan pihak tentera. Justeru mengadakan sebuah pasukan elit dalam entiti kepolisian dianggap satu perkara yang baru di dalam dunia ketika itu. Bahkan Malaysia antara negara terawal yang mempunyai pasukan sebegini berbanding dengan beberapa negara maju. Dilatih pada peringkat awal oleh Rejimen British 22 Special Air Force (22 SAS), peringkat pertama telah berjaya melahirkan 36 anggota elit. 22 SAS mengiktiraf akan kebolehan orang kita sehingga membenarkan pasukan ini menggunakan beret berwarna sand brown yang sama seperti mereka.

Sebenarnya hamba berasa tidak puas membaca buku ini. Ini adalah kerana catatan di dalam buku ini dibuat secara ringkas sahaja dan hanya menyentuh secara permukaan. Mempunyai 17 bab, buku ini memaparkan sevara ringkas akan beberapa perkara seperti sejarah penubuhan, kelengkapan, cara pemilihan anggota, unit-unit di dalamnya dan lain-lain lagi. Ketebalannya banyak dibantu oleh banyaknya gambar serta tulisan terjemahan bahasa Inggeris yang disusun seiring dengan bahasa Melayu. Tulisan di dalah bahasa Inggeris hamba lihat telah ditulis dengan amat baik hinggakan hamba merasakan tulisan dalam bahasa Inggeris lebih baik isi dan gaya bahasanya berbanding dengan teks tulisan Melayu. Mungkin ada lagi buku lain berkenaan pasukan ini yang hamba tidak tahu yang ditulis dengan lebih terperinci akan perjuangan mereka.

Hamba tertarik dengan satu ulasan penulis yang menyatakan bahawa, "....tiada seorangpun anggota 69 Komando dianugerahkan pingat bagi memperingati pengorbanan, darah dan airmata sepanjang tempoh Darurat II". Ia adalah satu kenyataan yang agak mengejutkan hamba. Bayangkan anggota polis yang berjaya menumpaskan banduan yang menawan tebusan di Penjara Pudupun dianugerahkan Pingat Gagah Berani, inikan pula anggota yang perjuangan mereka lebih sukar di dalam belantara sehingga ada yang terkorban dan hilang anggota tubuh badannya. Memanglah pingat itu secara zahirnya tidakpun memberikan apa-apa kelebihan wang ringgit mahupun kemewahan, tapi itulah tanda pengiktirafan terhadap wira bangsa daripada pihak kerajaan yang mewakili rakyat Malaysia.

Hamba juga amat tertarik melihat gambar-gambar lama pasukan ini. Jikalau dilihat, pakaian tempur peringkat awal mereka dilihat amat simple. Kadangkala nampak buruk benar, lusuh dan ada yang koyak, menandakan lamanya mereka berada di dalam hutan. Boleh dikatakan sama seperti pakaian anggota gerila sahaja. Persenjataan mereka juga tidak secanggih hari ini. Justeru dapat kita bayangkan bahawa mereka sememangnya anggota yang tabah dan cekal serta tidak gentar menghadapi apa sahaja cabaran. Tiada ganjaran mewah yang ditawarkan. Hanya hati yang kental mahu menjaga keamanan negara. Perkara seperti inilah yang bayak dilupakan oleh generasi hari ini. Orang lama bersusah payah menjaga keamanan negara. Orang kini pula dilihat semacam suka melihat negara berada dalam keadaan huru hara. Adakah mereka suka hidup dalam perang. Tanyalah orang-orang tua yang pernah hidup di zaman itu. Hamba pasti jikalau diberikan peluang untuk kembali merasai semula suasana zaman perang, pastinya mereka akan berkata tidak. 

Penulis turut menyatakan bahawa Perjanjian Hatyai 1989 hanyalah melibatkan perletakan senjata serta penghentian segala aktiviti keganasan dan menyerahkan segala senjaata kepada pihak berkuasa. Ia tidak menyentuh tentang halangan terhadap penyebaran ideologi komunis. Kerana itu baru-baru ini kita lihat ada pihak-pihak tertentu (hamba lebih suka menggelar mereka pengkhianat bangsa, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam) yang cuba menghidupkan kembali ideologi ini dengan meraikan dalam majlis tertentu sambil berpakaian komunis. Ia kita mungkin aman daripada aktiviti persenjataan, tetapi percayalah bahawa serangan pemikiran ini adalah lebih lagi bahayanya.

Penulis juga melahirkan rasa tidak senangnya terhadap penerbitan beberapa buah buku berkaitan pengalaman beberapa orang tokoh komunis. Walaupun bersifat sejarah, ia ditulis dari sudut pandangan mereka. Sudah tentulah para komunis ini akan melihat mereka berada di sudut yang positif serta segala serangan yang dilakukan ke atas pihak keselamatan negara adalah wajar. Bagi hamba, sekiranya kita tidak suka dengan hal seperti ini, kita sendiri perlu melahirkan lebih banyak buku dan tulisan pengalaman para pejuang bangsa ini. Pengalaman mereka perlu direkodkan bahkan perlu dicanangkan selalu. Nama mereka perlu kita sebut, perlu diajar dalam mata pelajaran sejarah di sekolah dan diabadikan pada tempat-tempat yang istimewa. Jikalau orang seperti mereka tidak berkorban nyawa, tentunya kita hari ini masih lagi tidur dalam ketakutan dan tidak bebas berjalan ke sana sini.

Jangan lewat melakukannya kerana komunis telahpun memulakan kembali onarnya!!



Nota - Buku ini hamba pinjam daripada En. Halim bin Ishak, seorang veteran 69 Komando melalui isteri beliau, Puan Rahayu Yasir. Sekalung terima kasih daripada hamba.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...