Jumaat, 21 Ogos 2020

HIJAB GHAIB - Ayu Balqis

 

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, latar masa cerita di novel ini mungkin sekitar tahun 50 dan 60an ketika rumah di kampung masih lagi menggunakan pelita dan air perigi dan jalan raya masih belum berturap. Kisah bertumpu kepada keluarga Haji Samad dan keluarganya iatu Cik Long Peah dan anak angkatnya Buyong yang tinggal di kampung Bendang Kering.

Haji Samad sekeluarga digambarkan sebagai mempunyai sedikit pengetahuan yang menyebabkan mereka sering diuji oleh unsur-unsur mistik. Namun keluarga mereka mempunya pengetahuan agama yang tinggi dan meletakkan tawakkal yang tinggi kepada Allah. Cerita dalam novel ini seolah tidak mempunyai klimaksnya. apa yang berlaku hanyalah kisah-kisah gangguan yang berlaku atau dihadapi keluarga ini dalam perjalanan hidup mereka. maknanya ada pelbagai kisah yang dirangkumkan dalam satu jarak masa dan bukannya tertumpu kepada satu kisah atau peristiwa khusus sahaja. Ia seolah watak datuk dalam siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang sering berhadapan dengan peristiwa mistik yang berbeza-beza. Cuma novel ini tidaklah seseram SBDJ.

Walau bagaimanapun penulis melakarkan ceritanya dengan baik. Pengkisahan cerita ini menunjukkan penulis mempunyai pengetahuan mengenai beberapa amalan serta ilmu hutan. Entah kenapa ketika membaca buku ini hamba sering terfikirkan novel Senjakala oleh Baharuddin Kahar yang banyak memaparkan latar hutan di dalam novelnya.

Tidak jelas apa kesudahan kepada semua watak dalam keluarga ini selain ditampilkan Buyong yang sudahpun bernikah. Hubungan Buyong dengan temannya di alam bunian juga hanya dijelaskan melalui satu kenyataan yang kabur. Jadi hamba umpama membaca karya yang tergantung, tidak tahu hala destinasinya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET

  Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang l...