Ahad, 19 Jun 2022

SagaraS - Tere Liye


 

Setelah beberapa kali tampil dengan spin off  siri ini, akhirnya Tere Liye menyambung kembali kisah petualangan Raib, Seli dan Ali. Dalam siri yang terakhir, Ali telah kehilangan kuasa dunia paralelnya dan pembaca tentunya tertanya-tanya bagaimana beliau akan bertarung nanti. Tere Liye kali ini menampilkan Ali sebagai seorang petarung yang menggunakan sebuah sut khas yang mempunyai kuasa tempur pelbagai klan termasuk trik pemusnah Si Tanpa Mahkota.

Kembara kali ini ternyata lebih keren. Ali yang sejak dahulu cuba membongkar asal usul keluarganya akhirnya telah menemui satu jalan yang akan membawanya ke arah tersebut. Soal keluarga Ali ini sememangnya sejak dahulu menjadi satu misteri kepada para pembaca. Setelah melalui pelbagai siri buku, akhirnya Tere Liye akan membawa kita membongkar rahsia keluarga Ali.

Berdasarkan kotak hitam sebuah kapal yang karam di mana ibu dan bapa Ali dikatakan terkorban sewaktu pelayaran tersebut, Ali menyusun langkah untuk mencari sebuah dunia bernama SagaraS. Namun tidak mudah untuk memasuki gerbang SagaraS. Batozar, seorang petarung ampuh dunia paralel sendiri telah gagal dalam puluhan percubaannya sehingga mendatangkan kecacatan yang kekal pada wajahnya. Selain tidak mudah untuk menemui gerbang ini, mereka yang berhasrat mencarunya terpaksa melalui gelombang besar yang memusnahkan, enam tornado yang mematikan, sotong raksasa dan sebagainya. Namun Ali yang sejak mula dikenali sebagai seorang yang genius telah menggunakan kepandaiannya untuk membolehkan beliau menembusi gerbang SagaraS. Pada awalnya Ali hanya pergi sendirian dan tidak memberitahu rakan-rakan beliau. Tetapi Batozar yang menyedari Ali telah mencuri sesuatu miliknya telah menjangka akan tujuan Ali lantas membawa Rais dan Seli bersama. Justeru mereka berempat akan sama-sama mengharungi cabaran kali ini.

Walaupun berjaya sampai di SagaraS, mereka telah dihalang dan diarahkan pulang oleh 13 kesatria SagaraS. Mereka akhirnya memberikan peluang kepada Ali dan rakan-rakannya andainya mereka dapat mengalahkan lima orang kesatria SagaraS.

Ali mengalami kejutan yang pertama apabila menemui kakek Ban, orang yang mengasuhnya sejak lahir sehingga berusia 9 tahun. Kakek Ban yang sebelum ini telah meninggal dunia memaklumkan perkara itu hanyalah sebnuah muslihat. Kakek ban melayani makan minum mereka sepanjang berada di situ.

Mereka terpaksa bertempur dengan pilihan kesatria SagaraS. Pertarungan dengan para kesatria ini nampak sukar namun Tere Liye sentiasa ada sahaja jalan untuk melepaskan para remaja ini. Pembaca akan didedahkan dengan trik trik perlawanan baharu yang tercetus tanpa disedari seperti Seli yang bisa meminjam kekuatan dirinya dari masa hadapan. Setiap kali selepas selesai perlawanan, kakek Ban akan menghidangkan makanan dan bercerita tentang keluarga Ali. Kakek Ban bercerita secara berperingklat-peringkat. Bermakna untuk mengetahui cerita yang lengkap, para remaja ini berserta Batozar harus memenangi semua pertarungan.

Kejutan datang dalam perlawanan terakhir mereka. Ternyata mereka harus menentang kakek Ban yang merupakan kesatria SagaraS nombor 2. Walaupun kelihatan mustahil untuk mengalahkan kakek ban yang dilihat amat perkasa, tetapi seperti biasa - hero mana boleh kalah!

Ibu Ali ternyata masih hidup dan kisahnya telah diceritakan sepanjang perjalanan buku ini. Ibu Ali adalah kesatria SagaraS nombor 1 atau yang paling kuat antara mereka! Kisah pertemuan ini amat ringkas sekali dan hamba menjangkakan kita terpaksa membacanya di buku yang akan datang!

Di hujung buku ini, Tere Liye memberikan beberapa teaser buku yang akan datang. Nampaknya siri Bumi ini tidak akan berakhir dalam masa yang singkat. Entah berapa tahun lagi harus kita lalui!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...