Khamis, 23 Julai 2020

RAID (2018)



Blog ini jarang mengulas tentang filem, bahkan filem bukanlah tujuan blog ini diadakan. Setakat ini hanya dua buah filem sahaja yang pernah hamba ulas. Itupun hanya filem tempatan di mana sebuah masih berkait dengan buku dan sebuah lagi berkaitan anmimasi. 

Bollywood, Kollywood atau apa sahaja filem yang datang dari India, kita maklum kebiasaannya ia sarat dengan adegan percintaan, gangster, nyanyian pergaduhan yang melampaui batas akal dan sebagainya. tetapi kebelakangan ini industri filem di sana banyak juga menghasilkan filem yang bermutu - tentang sejarah atau tokoh-tokoh tertentu. Filem-filem daripada jenis yang ini biasanya tidaklah sampai ke panggung di negara kita kerana ia agak kurang dari segi unsur komersilnya.

Filem Raid ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang berlaku di tahun 80an di mana seorang pegawai kerajaan yang berpangkat Timbalan Pesuruhjaya Cukai Pendapatan bernama Amay Patnaik lakonan Ajay Devgan melakukan satu serbuan besar ke atas kediaman seorang ahli politik berpengaruh. Amay Patnaik merupakan seorang pegawai yang berdedikasi serta bekerja mengikut lunas undang-undang. Kerana itu juga dalam masa 7 tahun beliau telah ditukarkan sebanyak 49 kali! namun itu sama sekali tidak melemahkan semangat beliau. Di sisi beliau berdiri teguh seorang isteri bernama Malini yang amat faham dengan tugasan beliau serta memberikan sokongan penuh dan terus bersama Patnai walau apapun dugaan yang melanda.

Kita maklum melalui filem-filem hindi dan tamil, golongan politik di sana mempunyai pengaruh yang amat kuat. Mereka berkuasa dan boleh mengawal pegawai kerajaan, menukar dan memecat mereka sehingga ke tahap membahayakan nyawa mereka dan keluarga. Ini yang turut dihadapi oleh Amay Patnaik yang turut memberikan kebimbangan kepada pegawai dan kakitangan di bawahnya. Namun Patnaik telah berjanji untuk melindungi kakitangannya sebaik mungkin. Ahli politik berkenaan, Rameshwar Singh telah menggunakan segala-gala pengaruhnya untuk memberhentikan tindakan penyerbuan oleh Patnaik sehingga ke peringkat Perdana Menteri.

Hamba amat menyukai babak di mana Patnaik dihubungi oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri ada bertanya sekiranya Patnaik boleh menghentikan serbuan dan menggunakan cara lain menggunakan sudut perundangan yang dibenarkan. Sebagai pegawai kerajaan, Patnaik akur tetapi meminta PM mengeluarkan arahan berkenaan secara bertulis dan difakskan ke pejabat beliau. Ini kerana melalui telefon beliau tidak dapat memastikan arahan tersebut sama ada benar-benar datang daripada PM! Dan ternyata PM sendiri tidak berani menulis arahan berkenaan dan Patnaik meneruskan kerja-kerja beliau. Dalam hal ini hamba selalu mengingatkan anak-anak buah di pejabat agar memastikan kerja mereka mempunyai hitam dan putih sekiranya melibatkan arahan atau sesuatu yang berkaitan dengan peraturan. Mempunyai hitam dan putih boleh menyelamatkan kita di belakang hari sekiranya berlaku sesuatu. Apa yang Patnaik lakukan merupakan satu contoh yang amay baik kepada penjawat awam.

Sekiranya anda melihat hasil serbuan di dalam filem ini kita akan merasakan betapa kayanya ahli politik mereka yang melakukan rasuah atau mendapatkan wang melalui jalan yang tidak betul. Berkepuk-kepuk wang, ketulan emas, barang perhiasan dan lain-lain barang berharga yang diperolehi oleh Patnaik dan pegawainya. Ada yang disorokkan di dalam tiang, dinding, tangga batu, siling, guni makanan dan sebagainya. kakitangan Patnaik bahkan mencari di dalam longgokan najis haiwan. Kekayaan mereka amat melampau. Dan walaupun mempunyai segalanya, merekalah golongan terawal yang akan lari daripada membayar cukai.

Banyajk pengajaran baik daripada filem ini. Antaranya adalah perlunya pegawai kerajaan itu mempunyai keperibadian dan sifat integriti yang tinggi, seorang isteri merupakan sumberinspirasi terbaik buat suami, kakitangan yang baik, cekap dan amanah dapat membantu ketua untuk menjalankan tugas dengan baik. Dalam filem ini Patnaik turut mempunyai kakitangan yang bersifat talam dua muka. Namun Patnaik masih memberikan peluang serta mendidik mereka secara tak lansung sehingga kakitangan berkenaan sedar akan kesilapannya dan bersedia untuk membetulkannya.

Filem ini tiada adegan percintaan yang meloyakan, adegan gaduh sehingga terbang melayang dan sebagainya. Tetapi langkah-langkah yang diambil oleh patnaik serta keperibadian beliau di dalam menghadapi serta menyelesaikan masalah boleh dijadikan panduan yang baik untuk kita semasa menjalankan tugas.

Jangan melihat hanya sekadar filem yang memberikan hiburan. Lihatlah lebih daripada itu!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...