Selasa, 8 Jun 2021

AWEK CHUCK TAYLOR - Nami Cob Nobbler


Novel ini terlalu banyak carutan dan makian. Ia umpama makanan dan kebiasaan watak-watak dalam novel ini. Sekaligus membuatkan diri hamba tertanya, inikah bentuk orang muda, bakal pemimpin atau masyarakat yang kita mahukan. Naskhah yang hamba baca adalah cetakan yang ke sebelas. Ini menunjukkan ia mendapat sambutan ramai. Sambutan ramai biasanya juga dipengaruhi oleh mereka yang pernah membacanya sebelum disyorkan kepada orang lain pula. Jadi adakah khalayak sudah boleh menerima budaya kerap mencarut ini? Memang benar, dalam kehidupan seharianpun perkara ini ada berlaku. Tetapi apabila ia dibukukan, ia akan menjadi kekal. Ia akan menjadi tatapan ramai. Yang bijak akan menjadikannya tidak lebih daripada sebuah karya tulisan manusia. Yang tidak bijak pula akan mula mengikuti, tak kira sama ada carutan atau gaya kehidupan bebas lampas watak-watak novel ini. Golongan yang tidak bijak inilah yang menjadi kerisauan kita.

Jadi bagaimana hamba boleh terjebak membacanya? Buku ini hamba lihat di perpustakaan, dalam timbunan menara buku bulan lalu. Sebelum ini pun hamba biasa melihat buku ini sewaktu melawat kedai atau pameran buku, cuma tidak pernah mengambilnya. Jadi keberadaan buku berkenaan di perpustakaan menyebabkan hamba mengambilnya setelah menyudahkan karya berat Zaharah Nawawi bertajuk Anugerah. Jenis hamba pula apabila telah membaca sesuatu buku, tidak kira sama ada ia menarik atau tidak, hamba akan baca juga sehingga ke penghujungnya.

Novel ini adalah kisah remaja bernama Hafiz yang macam nampak desperate hendak berpasangan. Dalam pada mengorat seorang, dia boleh berpasangan dengan seorang yang lain. Dalam pada sudah mempunyai teman, dia boleh juga keluar dengan orang lain. Latar masa novel ini adalah pada pertengahan tahun 2000 atau lebih 15 tahun yang lalu di mana MySpace menjadi media sosial yang popular pada masa itu.

Hafiz mendapat teman bernama Mira yang nampak ganas, suka membaca, boleh menampar teman lelakinya, macam tak beragama dan suka mencarut. Abang Mira, Aiman juga nampak ganas, suka merempit, peminat MU, selalu gagal nak mengorat wanita dan juga suka mencarut. Adik mereka Nana, nampak lebih lembut dan bersopan, cantik, kurang berbicara kerana gagap dan mempunyai severe asthma. Ayah mereka, peminat tegar Liverpool, mempunyai gurauan yang tidak kurang saikonya. Cuma emak mereka yang tidak berapa nak ditonjolkan.

Hafiz dah suka Mira sang kakak, sang adik juga ada hati dengan Hafiz, dan Aiman sang abang yang macam tak kisah dengan apa yang berlaku. Konflik besar mula timbul apabila keluarga ini berpindah ke Kanada. Mira berharap Hafiz dapat mengikuti jejak mereka nanti ke Kanada setelah beliau berjaya dalam pelajarannya. Nmaun Hafiz pula mahu Mira kembali ke Malaysia sekiranya beliau tidak mampu ke sana. Namun Mira tekad memberitahu bahawa beliau tidak akan kembali lagi ke Malaysia. Di sinilah penulis menimbulkan pertanyaan kepada pembaca apabila Mira dilihat cuba menyembunyikan sebab sebenar kenapa beliau tidak akan kembali lagi. Terfikir juga hamba keluarga ini terlibat dengan jenayahkah, abah Mira ni perisik asing ke dan sebagainya, tetapi dugaan hamba itu tidak benar belaka. Ingatkan kalau ada unsur sebegitu ia akan menimbulkan konflik yang lebih besar. Tetapi ini bukan novel thriller. Ia adalah kisah cinta penuh mencarut semata-mata.

Kerana itulah Hafiz meninggalkan Mira, cuba beralih ke wanita lain dan mula berhubungan dengan Nana. Hafiz ni hamba pun tak tahu lelaki jenis apa. Walaupun nampak macam ada wibawa, tetapi mudah benar lembik dan tertipu dengan wanita. Watak Bella yang hari-hari minta kredit telefon dan minta duit untuk beli pakaian mahal itupun si Hafiz boleh layan dalam satu masa yang lama. Sudahlah tak pernah bertemu muka, sifat Bella yang jelas-jelas menipu itupun dibuat macam tak ada apa oleh Hafiz walaupun telah dinasihati beberapa orang. 

Ya banyak kisah cinta jarak jauh dan cinta atas talian yang dipaparkan dalam novel ini. setelah sekian banyak peristiwa berlaku, novel ini ditamatkan dengan kematian Nana. Hamba rasa macam tipikal drama Melayu pula, kalau tak kemalangan mesti kematian. 

Setakat beberapa novel indie yang hamba pernah baca, inilah novel yang paling banyak carutan dan makian. Baca novel indie tentang kisah gangster tu memanglah ada carutan, tetapi tidaklah sebanyak dalam novel ini. Kisah cinta pula tu!





2 ulasan:

  1. Nami ada buku lain tajuk Rokok Nan Sebatang, pun penuh carutan. Hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau dah banyak mencarut, malas rasanya nak baca tulisan penulis sebegini. Sampai bila nak racuni pemikiran masyarakat dengan kata2 yang kurang sopan.

      Padam

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...